06 Mei 2008

Pelaburan Ketua Menteri

Yayasan Melaka disaran mengembangkan sayap pelaburannya ke luar negara terutama dalam bidang peladangan setelah menunjukkan kemajuan yang baik sekarang. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan dan perladangan, Yayasan Melaka perlu memainkan peranan lebih aktif dalam bidang berkaitan. Dengan ladang kelapa sawit seluas lebih 400 hektar di Melaka dengan pendapatan kira-kira RM4 juta setahun dan masing-masing 5,000 hektar di Sabah dan Sarawak, Yayasan Melaka diyakini mampu memperluaskan pelaburannya. Ekonomi Yayasan Melaka pada masa depan amat baik. Mereka boleh meningkatkan dana Tabung Pendidikan Negeri Melaka yang memerlukan kira-kira RM8 juta setahun untuk diberikan kepada anak-anak Melaka dalam bentuk biasiswa atau pinjaman pelajaran.

Yayasan Melaka perlu membuat lebih banyak pelaburan dalam bidang perladangan terutamanya, di luar negeri Melaka mahupun di luar negara. Selain memiliki ladang kelapa sawit, Yayasan Melaka juga mengendalikan tiga kolej di negeri ini iaitu Kolej Yayasan Melaka, Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (Micost) dan Kolej Dunia Melaka Dunia Islam (DMDI). Bangunan Yayasan Melaka setinggi 15 tingkat dengan kos pembinaan sebanyak RM34.8 juta akan menjadi satu lagi mercu tanda di kawasan MITC.

Bangunan yang dijangka siap menjelang akhir tahun depan itu diharap dapat memberikan pulangan jangka panjang kepada Yayasan Melaka melalui penyewaan ruang pejabat. Dimaklumkan tingkat bawah bangunan ini akan disewakan kepada mana-mana bank komersial bagi memudahkan urusan kewangan di kawasan ini dan juga lain-lain pihak swasta yang berminat. Yayasan Melaka sebelum ini turut memiliki beberapa aset dalam bentuk bangunan termasuk Wisma Negeri lama di Jalan Hang Tuah yang dibeli dari kerajaan negeri yang kemudiannya disewakan kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) untuk dijadikan kampus bandar. Bangunan lama di Jalan Hang Tuah yang disewakan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai kampus bandar serta bangunannya di MITC yang disewakan kepada Institut Bioteknologi Melaka.