06 Mei 2008

Pesan Ketua Menteri Kepada Rakyatnya

Rakyat Melaka perlu lebih bersedia dengan kekuatan mental dan emosi termasuk memberi komitmen untuk menghadapi serangan inflasi di seluruh negara ketika ini. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, berkata, untuk menangani masalah itu, masyarakat perlulah faham dengan jelas faktor penyebab berlakunya inflasi kali ini yang didorong oleh kenaikan harga barang makanan di pasaran dunia. Harga beras putih 100 peratus gred B Thailand yang menjadi penanda aras harga beras dunia telah meningkat 79 peratus, dari AS$324 (RM1,021) setan pada Mei 2007 kepada AS$580 (RM1,827) setan pada awal tahun ini. Harganya terus meningkat sebanyak 70 peratus kepada AS$1,000 (RM3,150) setan pada akhir April dan ia dijangka akan melonjak lagi 30 peratus kepada AS$1,300 (RM4,095) setan dalam tempoh terdekat.

Mohd. Ali berkata demikian dalam ucapannya pada mesyuarat bulanan kerajaan negeri di Seri Negeri di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Ismail Saleh. Jelas Mohd. Ali, inflasi juga didorong oleh lonjakan kos bahan bakar yang kini mencecah AS$118 atau RM372 setong berbanding AS$69 atau RM253 setong pada tahun 2006. Kenaikan kos bahan bakar ini mempunyai implikasi yang meluas ke atas ekonomi dan kehidupan penduduk dunia, termasuklah mendorong kenaikan harga barang makanan. Keadaan bertambah meruncing apabila bahan makanan utama seperti beras, gandum, jagung dan kacang soya mengalami kejatuhan bekalan sedangkan permintaan terus meningkat ekoran daripada pertambahan penduduk. Dua punca utama kejatuhan pengeluaran tersebut ialah faktor cuaca seperti banjir dan kemarau serta penggunaan bahan makanan seperti jagung sebagai bio-bahan bakar.


Atas faktor pasaran harga bahan makanan dan minyak mentah itu menjadikan serangan inflasi kali ini adalah bersifat global. Mohd. Ali berkata, di sesetengah negara kenaikannya menjangkau hingga ke ratusan ribu peratus seperti di Zimbwawe iaitu sebanyak 165,000 peratus, Venezuela (29.1 peratus), Mesir (14.4 peratus), Pakistan (14.1 peratus) dan Russia (13.3 peratus). Kesan daripada kenaikan harga barangan yang tinggi itu nanti akan menyebabkan 100 juta penduduk termiskin di dunia tidak mampu membeli makanan dan akan mati kebuluran, jika mereka lambat dibantu. Bagaimanapun, kita masih bernasib baik dan tidak perlu panik kerana keadaan masih terkawal walaupun bahangnya telah mula dirasakan. Justeru itu, semua pihak di negara ini termasuk kerajaan, pengeluar, pemborong, pengedar, peruncit dan pengguna hendaklah berganding bahu menangani masalah kenaikan kos sara hidup ini sebelum ia mencapai ke ke tahap yang kritikal.