14 Mei 2008

Tabung Bantuan Myanmar

Kerajaan Negeri Melaka akan melancarkan Tabung Bantuan Myanmar yang akan diadakan di Seri Negeri. Majlis pelancarannya akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di bilik mesyuarat Tun Mutahir, di Seri Negeri. Menurut kenyataaan Jabatan Ketua Menteri, tabung berkenaan dilancarkan bertujuan meringankan beban rakyat Myanmar yang ditimpa bencana 'taufan nargis' pada 2 Mei lalu.


Taufan Nargis yang melanda negara komunis itu meragut lebih 30,000 nyawa, manakala lebih 41,000 orang masih lagi hilang di negara itu. Individu, pertubuhan sukarela, kontraktor dan sektor korporat adalah dipelawa untuk menderma bagi mengisi tabung berkenaan yang kemudian akan disalurkan kepada Tabung Bencana Kementerian luar Negeri. Kerajaan negeri turut melancarkan Tabung Mangsa Tsunami pada 2005 bagi membantu rakyat Aceh yang ditimpa bencana itu pada 26 Disember 2004. Kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk barangan bernilai RM500,000 ke Myanmar bagi meringankan beban rakyat negara berkenaan.