23 April 2008

Tidak Risau Dengan Pencabar

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam tidak berasa tertekan dengan hasrat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO. Sebagai parti yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh bertanding merebut jawatan tersebut tanpa ada sebarang halangan. Tidak ada masalah jika Hishammuddin ingin bertanding jawatan Naib Presiden kerana memang sudah ramai yang menawarkan diri.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesediaan Hishammuddin untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO Disember ini sekiranya beliau mendapat pencalonan daripada bahagian-bahagian parti itu. Menurut Hishammuddin, beliau tidak menghalang UMNO bahagian mencalonkannya untuk bertanding jawatan tersebut tetapi pertimbangan mengenainya akan dibuat apabila tiba masanya. Hasrat Menteri Pelajaran itu untuk bertanding merebut jawatan Naib Presiden merupakan satu proses biasa yang berlaku sebelum berlangsung pemilihan UMNO.

Datuk Seri Mohd. Ali tidak berasa tertekan walaupun terpaksa menghadapi persaingan daripada pemimpin UMNO yang berhasrat bertanding merebut jawatan Naib Presiden kerana ia adalah proses biasa saja.