22 April 2008

Amanat Ketua Menteri Melaka

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini diminta lebih komited melunaskan janji mereka kepada masyarakat sebagai mana yang mereka janjikan pada pilihan raya umum lalu. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka perlu meningkatkan kerja dan sumbangan membantu golongan yang memerlukan dan tidak bersikap sebaliknya. Menurutnya, beliau tidak mahu wakil rakyat bersikap bongkak dan enggan meluangkan masa bersama masyarakat wajar dijadikan panduan dalam meningkatkan perkhidmatan mereka ke tahap yang lebih cemerlang.


Pada masa yang sama, setiap ADUN telah membuat persiapan sewajarnya seperti menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap apa jua perkara yang sedang berlaku di dalam negeri bagi membolehkan mereka lebih bersedia sewaktu menghadapi Persidangan DUN kelak. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Angkat Sumpah Speaker, Timbalan Speaker DUN dan barisan ADUN. Beliau berpesan setiap ADUN perlu sentiasa bersedia menyalurkan maklumat yang tepat mengikut bidang masing-masing dan berkemampuan memberi penerangan yang lebih jelas dalam persidangan DUN kelak.


Semua Ahli Dewan perlu memahami terlebih dahulu apa yang berlaku dalam negeri termasuk memberi cadangan yang membina terutama di kalangan wakil pembangkang. Wakil pembangkang tidak hanya berfungsi untuk membangkang tetapi jadi pembangkang yang konstruktif dengan memberi pandangan serta idea yang membina. Beliau yakin sidang DUN kali ini akan bertambah lebih baik berbanding sebelum ini melalui barisan campuran ADUN lama dan baru seterusnya mampu perubahan yang lebih baik kepada kerajaan negeri. Ini kerana, Melaka kini tidak mempunyai banyak masa lagi iaitu hanya tinggal dua tahun untuk merealisasikan hasrat menjadi negeri maju menjelang tahun 2010 dan untuk itu, perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh setiap wakil rakyat ialah berkaitan masalah kemiskinan.

Walaupun penduduk miskin di negeri ini termasuk mereka yang diberi bantuan telah melepasi paras kemiskinan namun pendapatan mereka ini perlu ditambah bagi meningkatkan lagi kualiti hidup dari segi kesihatan, alam sekitar, perumahan kemudahan pendidikan. Mohd. Ali berkata, bagi pihak kerajaan negeri, pelbagai program kebajikan telah diatur bagi membolehkan golongan terbabit tidak ketinggalan menikmati kemudahan pembangunan yang dirancang. Apa yang lebih penting penduduk miskin ini dapat merasai bersama nikmat status sebagai negeri maju kerana saya tidak mahu apabila Melaka sudah mendapat status ini namun masih ada rakyat miskin yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.