23 April 2008

Tidak Risau Dengan Pencabar

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam tidak berasa tertekan dengan hasrat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO. Sebagai parti yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh bertanding merebut jawatan tersebut tanpa ada sebarang halangan. Tidak ada masalah jika Hishammuddin ingin bertanding jawatan Naib Presiden kerana memang sudah ramai yang menawarkan diri.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesediaan Hishammuddin untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO Disember ini sekiranya beliau mendapat pencalonan daripada bahagian-bahagian parti itu. Menurut Hishammuddin, beliau tidak menghalang UMNO bahagian mencalonkannya untuk bertanding jawatan tersebut tetapi pertimbangan mengenainya akan dibuat apabila tiba masanya. Hasrat Menteri Pelajaran itu untuk bertanding merebut jawatan Naib Presiden merupakan satu proses biasa yang berlaku sebelum berlangsung pemilihan UMNO.

Datuk Seri Mohd. Ali tidak berasa tertekan walaupun terpaksa menghadapi persaingan daripada pemimpin UMNO yang berhasrat bertanding merebut jawatan Naib Presiden kerana ia adalah proses biasa saja.

22 April 2008

Agenda Ketua Menteri

Kerajaan Melaka mengumumkan pelaksanaan inisiatif serampang tiga mata dalam usaha untuk terus memastikan kehidupan kira-kira 800,000 rakyatnya kekal selesa dan makmur, susulan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu kebelakangan ini. Inisiatif itu meliputi peningkatan pendapatan rakyat tanpa mengira kaum agar kuasa beli mereka tidak terjejas akibat kenaikan inflasi menerusi penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti.


Disamping itu, usaha merancakkan aktiviti ekonomi seimbang antara bandar dan luar bandar dengan memberi keutamaan kepada aktiviti bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan menerusi persekitaran perniagaan lebih kondusif akan dilaksanakan. Bagi membendung inflasi kerajaan negeri akan menambah dan menyokong usaha Kerajaan Persekutuan terutama membantu pengeluar meningkatkan produktiviti, selain menambah penawaran barang yang diperlukan khususnya makanan untuk mengurangkan tekanan.


Kerajaan pimpinannya sentiasa menyedari rakyat negeri ini sedang bergelut dengan beberapa masalah terutama berhubung kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri, Datuk Othman Mohamad dilantik Speaker, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Idderis Kasim timbalannya. Semua 28 Adun yang menang pilihan raya lalu turut mengangkat sumpah jawatan.

Amanat Ketua Menteri Melaka

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini diminta lebih komited melunaskan janji mereka kepada masyarakat sebagai mana yang mereka janjikan pada pilihan raya umum lalu. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka perlu meningkatkan kerja dan sumbangan membantu golongan yang memerlukan dan tidak bersikap sebaliknya. Menurutnya, beliau tidak mahu wakil rakyat bersikap bongkak dan enggan meluangkan masa bersama masyarakat wajar dijadikan panduan dalam meningkatkan perkhidmatan mereka ke tahap yang lebih cemerlang.


Pada masa yang sama, setiap ADUN telah membuat persiapan sewajarnya seperti menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap apa jua perkara yang sedang berlaku di dalam negeri bagi membolehkan mereka lebih bersedia sewaktu menghadapi Persidangan DUN kelak. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Angkat Sumpah Speaker, Timbalan Speaker DUN dan barisan ADUN. Beliau berpesan setiap ADUN perlu sentiasa bersedia menyalurkan maklumat yang tepat mengikut bidang masing-masing dan berkemampuan memberi penerangan yang lebih jelas dalam persidangan DUN kelak.


Semua Ahli Dewan perlu memahami terlebih dahulu apa yang berlaku dalam negeri termasuk memberi cadangan yang membina terutama di kalangan wakil pembangkang. Wakil pembangkang tidak hanya berfungsi untuk membangkang tetapi jadi pembangkang yang konstruktif dengan memberi pandangan serta idea yang membina. Beliau yakin sidang DUN kali ini akan bertambah lebih baik berbanding sebelum ini melalui barisan campuran ADUN lama dan baru seterusnya mampu perubahan yang lebih baik kepada kerajaan negeri. Ini kerana, Melaka kini tidak mempunyai banyak masa lagi iaitu hanya tinggal dua tahun untuk merealisasikan hasrat menjadi negeri maju menjelang tahun 2010 dan untuk itu, perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh setiap wakil rakyat ialah berkaitan masalah kemiskinan.

Walaupun penduduk miskin di negeri ini termasuk mereka yang diberi bantuan telah melepasi paras kemiskinan namun pendapatan mereka ini perlu ditambah bagi meningkatkan lagi kualiti hidup dari segi kesihatan, alam sekitar, perumahan kemudahan pendidikan. Mohd. Ali berkata, bagi pihak kerajaan negeri, pelbagai program kebajikan telah diatur bagi membolehkan golongan terbabit tidak ketinggalan menikmati kemudahan pembangunan yang dirancang. Apa yang lebih penting penduduk miskin ini dapat merasai bersama nikmat status sebagai negeri maju kerana saya tidak mahu apabila Melaka sudah mendapat status ini namun masih ada rakyat miskin yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.